"ANGKARA DEDAH, ANGKARA TERJAH ... BILA SEMUA BUAT TAK KISAH !!. CAKNA DEMI RAKYAT"

Isu Caj Bayaran Di Teluk Tongkang, Sila Batalkan Atau Pun Mahu Rakyat Boikot !


Pengunjung Pantai Teluk Tongkang, Teluk Cempedak dekat sini terkejut apabila mereka dikenakan caj perkhidmatan untuk berkelah kerana tidak pernah dimaklumkan secara terbuka kepada orang ramai.

Difahamkan pengunjung dikenakan bayaran sebanyak RM5 sehingga RM30 kepada kumpulan yang mahu berkelah atau pun mahu mengadakan jamuan BBQ di lokasi terbabit. 

Caj ini sudah lama berjalan sebenarnya, iaitu sejak tahun 2014 lagi. Namun ramai pengunjung terutamanya pelancong dari luar langsung tidak mengetahui perkara ini secara rasmi sebenarnya. 


Isu ini kembali menjadi panas apabila ia diviralkan baru-baru ini. Persoalannya, kenapa pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) langsung tidak menyediakan papan tanda secara rasmi tentang caj-caj yang dikenakan kepada orang awam?. Difahamkan  bayaran itu dikenakan kerana caj perkhidmatan termasuk keselamatan dan kemudahan yang disediakan.


Ramai yang tidak tahu dan mereka tertanya-tanya dengan bayaran berkenaan dan kenapa perlu dikenakan bayaran kepada pengunjung yang mahu berkelah di pantai ini. Bukankah MPK sepatutnya menyediakan kemudahan kepada orang awam, dan ia tidak perlu dicaj seolah-olah kawasan terbabit milik persendirian (private area). 

Sepatutnya pihak MPK yang membayar kepada kontraktor yang dilantik atas kerja-kerja yang dilakukan, bukannya mengenakan caj kepada orang ramai yang berkunjung ke situ. Ini adalah satu tindakan yang tidak adil kepada rakyat yang sudah membayar berbagai cukai kepada pihak berkuasa tempatan terbabit. 
Tindakan ini jelas sekali amat mengelirukan dan sewajarnya tidak berlaku. Bayangkan selepas beberapa tahun (2014) hingga sekarang, orang ramai tidak tahu menahu tentang perkara ini. Sekarang dah tahun 2017, bahkan tahun ini adalah Tahun Melawat Pahang. 

Maka itu, rasional mengenakan caj bayaran kepada pengunjung ke lokasi ini amatlah tidak sesuai dalam usaha menarik pelancong ke negeri ini. 

Ia bercanggah dengan amalan menyediakan perkhidmatan untuk rakyat. Jika ada yang membuang sampah atau mengotorkan tempat berkenaan, MPK sepatutnya mengenakan kompaun kepada pihak berkenaan sahaja. Bukannya mengutip bayaran daripada semua pihak yang berada di situ. 

Justeru, kami menggesa perkara ini ditarik balik atau akan berhadapan dengan tindakan "boikot" oleh rakyat yang terpaksa dilaksanakan.  Jika ini berlaku pasti hanya binatang sahaja terutamanya kera-kera di hutan berdekatan  yang akan datang ke situ nanti

Demi pelancongan, Kerajaan Negeri Pahang juga harus mengambil tindakan untuk mengeluarkan arahan pembatalan caj bayaran di kawasan ini. Ia sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke sini. Teluk Tongkang bukannya sebuah pulau yang boleh dibuat sesuka hari oleh pihak berkenaan.

Difahamkan, semalam (14 Februari 2017) pihak berkuasa telah turun ke lokasi terbabit dan membuang papan tanda yang berkenaan. Namun, ia tidak menyelesaikan isu kerana kawasan ini sudah diberikan tender kepada pihak swasta untuk menguruskannya. 

Lebih perit lagi, pihak yang menguruskan lokasi terbabit pula dipercayai warga asing yang berkahwin dengan penduduk tempatan. Inilah yang menimbulkan isu kepada orang ramai sebenarnya. Kerana mereka seolah-olah merasa terlalu hina akibat diherdik oleh orang asing di bumi sendiri. 


Justeru, kami berharap pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) segera meletakkan papan tanda tentang caj-caj yang dikenakan bagi memudahkan orang ramai berurusan di situ. Mana mungkin selepas bertahun-tahun tiada satu papan tanda rasmi di lokasi. Ia seolah-olah cubaan untuk menganiaya orang awam yang tidak mengetahui tentang perkara ini. 

Cakna Demi Rakyat

MOHD SHUKRI B MOHD 
RAMLI @ JAMALUDDIN
Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
[ A N G K A R A ]