"ANGKARA DEDAH, ANGKARA TERJAH ... BILA SEMUA BUAT TAK KISAH !!. CAKNA DEMI RAKYAT"

Pokok Mati Ancam Keselamatan Orang Awam, MPK Di Gesa Segera Bertindak !


Sebelum ini saya pernah menegur tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang mahu menjejaki pihak penebang pokok haram berhampiran Terminal Sate Zul di Jalan Teluk Sisek. MPK telah mengedarkan memo meminta orang ramai berkerjasama memberi maklumat sekiranya mengetahui perkara itu.

Namun, bagi saya tindakan yang lebih wajar dilakukan oleh MPK ialah menyegerakan semua aduan berkaitan pokok berbahaya seperti dahan reput, mati atau terlalu besar yang boleh mengancam keselamatan orang awam.

Banyak kejadian dahan-dahan pokok menghempap kenderaan berlaku di sekitar Kuantan termasuk di Jalan Tun Ismail (Depan Pasar), Jalan Mahkota (Pejabat Pos) dan di Teluk Chempedak. Kesemua kes berkenaan berlaku dalam kawasan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). 

Namun, kesemua mangsa gagal mendapatkan pembelaan yang sewajarnya daripada pihak MPK sendiri. Inilah yang memusykilkan. Malah MPK memberi berbagai alasan untuk mengelakkan daripada dipertanggungjawabkan. Sedangkan tender menebang serta mencantas dahan-dahan pokok dikeluarkan oleh pihak terbabit.

Akhirnya mangsa tidak dapat gantirugi yang setimpal dan terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membaiki kenderaan masing-masing. Inilah yang mengecewakan ramai warga Kuantan sebenarnya. MPK hanya bising bila ada pokok hilang, sedangkan tidak bertindak segera bila ada aduan dibuat. Akhirnya rakyat yang marah, terpaksa mengambil tindakan sendiri. 

Jika dilihat kepada situasi di lokasi pokok yang ditebang, jelas dapat dilihat akar-akar pokok terbabit sudah terlalu besar dan merosakkan struktur tanah di situ. MPK seolah-olah tiada unit yang mengkaji tahap bahaya jika pokok terlalu besar dan bila-bila masa boleh tumbang jika akar yang menyokongnya sudah tidak dapat menampung pokok itu lagi.

Terbaru, skuad terjah memantau semula aduan kami tentang pokok mati dan berbahaya di kawasan perindustrian Semambu petang tadi (6 Jun 2017). Isu telah diterjah pada April lalu, namun hingga ke hari ini tiada tindakan yang dilakukan oleh pihak terbabit. 

Ini membuktikan MPK begitu lambat bertindak terhadap aduan yang dikemukakan, namun cepat melatah dalam isu "pokok hilang". Sepatutnya, aduan-aduan yang dibuat diambil perhatian segera, agar ia tidak mengancam keselamatan orang awam.

Justeru, diharap pihak MPK dapat lebih cakna dengan isu-isu rakyat yang dikemukakan oleh orang ramai. Isu pokok mati dan reput di Semambu ini terpaksa kami terjah selepas aduan yang dibuat oleh orang ramai tidak mendatangkan hasil. Namun lebih sebulan diterjah, hasilnya tetap sama "tunggu dan lihat". Jangan sampai ada orang awam yang menjadi mangsa pula atas kelemahan ini. Rakyat perlu diutamakan.

"Cakna Demi Rakyat"

MOHD SHUKRI B MOHD

RAMLI @ JAMALUDDIN
(Blogger Cucumatkilau)
Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
[  A N G K A R A ]


http://angkaraterjah.blogspot.my/